KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, beliau sama sekali tidak akan menerima sumbangan daripada sumber haram untuk disalurkan kepada Yayasan Akalbudi yang diasaskannya.

Tegas bekas Timbalan Perdana Menteri itu, sebagai seorang Islam, pegangan beliau ialah tidak membenarkan penerimaan sebarang sumbangan daripada aktiviti haram.

Justeru, Presiden UMNO itu berpendirian, sumbangan RM10 juta yang diterima melalui 10 keping cek kepada yayasan berkenaan daripada seorang ahli perniagaan Sarawak adalah daripada sumber yang sah.

Ahmad Zahid yang membela diri terhadap 47 tuduhan penyelewengan dana yayasan terbabit, berkata, ia adalah kerana sumbangan yang diberikan itu dibuat menerusi  Wong Sang Woo @ Wong Shuh Chain yang juga Pengarah Chia Bee Enterprise Sdn Bhd yang dikenali sebagai Paul.

“Penderma itu daripada Sarawak dan Paul adalah rakan kongsinya, oleh kerana penderma tidak berada di negara ini, jadi beliau menyerahkan sumbangan melalui  Paul.

“Maka, saya tentunya mempunyai pendirian bahawa wang itu bukan wang daripada aktiviti haram atau mana-mana sumber haram.

“Saya sebagai orang Islam, kalau saya mengetahui sumbernya haram maka pasti saya menolak sumbangan sebegitu, itu pegangan saya,” katanya ketika diperiksa semula oleh peguamnya, Hamidi Mohd Noh.

Dalam perbicaraan lalu, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Christ Sheldon Anak Merun memberitahu mahkamah, Ahmad Zahid meminta sumbangan RM10 juta itu daripada Paul pada majlis makan malam pada 2015.

Menurut Sheldo, dalam pertemuan itu, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu memberitahu sumbangan terbabit adalah untuk disalurkan kepada orang miskin dan individu yang memerlukan.

Katanya, Ahmad Zahid memperkenalkan dirinya sebagai Menteri Dalam Negeri dan Paul memperkenalkan dirinya sebagai usahawan dari Singapura yang terbabit dalam pelaburan saham, perniagaan kayu balak, pelaburan harta tanah, pakaian fesyen dan ejen penghantaran.

Ditanya  mengenai sumbangan RM7.5 juta yang diterima daripada  Yayasan Al-Bukhari, Ahmad Zahid berkata, sumbangan itu diterima daripada rakannya, Tan Sri Syed Mokhtar Al-­Bukhary juga bagi sumbangan politik dan amal jariah.

Bagaimanapun, kata beliau, wang berkenaan tidak dimasukkan dalam akaun peribadinya, sebaliknya, ke akaun yayasan menerusi cek.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid juga tidak mengarahkan Omar Ali Abdullah untuk menukarkan wang berkenaan kepada cek, sebaliknya, ia adalah inisiatif pengurup wang (Omar Ali) itu sendiri.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.